100 pasangan pengantin diraikan di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR: Seramai 100 pasangan pengantin diraikan dalam Majlis Walimatul Urus Perdana anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dataran Merdeka, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata kesemua pasangan pengantin yang diraikan dalam majlis bersempena Karnival MAIWP 2023 itu, merupakan kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Beliau berkata kesemua pasangan pengantin berkenaan turut menerima RM2,000 dan sepersalinan pakaian pengantin berserta perhiasan melalui skim bantuan perkahwinan MAIWP.

Katanya skim tersebut diperkenalkan sejak 2006 bagi meringankan beban bakal pengantin dalam mengadakan majlis walimatul urus.

“MAIWP telah membantu 412 penerima melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.08 juta melalui skim itu pada tahun lepas,“ katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis itu, di sini.

Terdahulu, Mohd Na’im turut melancarkan Kempen Jom Kahwin di Wilayah Pesekutuan yang bertujuan menggalakkan lebih ramai khususnya anak muda di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mendirikan rumah tangga.

Menurutnya paling penting dalam kempen itu ialah memberikan bakal pengantin ilmu pengetahuan berkaitan tanggungjawab serta peranan dalam membentuk keluarga sakinah (tenang), mawaddah (saling mencintai) dan rahmah (berbelas kasihan).

Dalam pada itu, pada majlis bertema ‘Nostalgia Adat Istiadat Kegemilangan Melayu Islam’ berkenaan, pasangan mempelai diarak menaiki bas Hop on Hop Off KL mengelilingi Jalan Raja Laut, sebelum disandingkan di pelamin yang disediakan di Dataran Merdeka.

Menariknya, dua pasangan pengantin telah dinikahkan oleh Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail secara langsung.

Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar berkata pihaknya dalam perancangan untuk menjadikan majlis itu sebagai acara tahunan.

Turut hadir, Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Hajah Saraya Arbi dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Mohd Nizam Yahya. – Bernama