3,919 peniaga aktif guna e-dompet seluruh negara: Rosol

KUALA PERLIS: Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) mendapat sambutan menggalakkan apabila 3,919 peniaga telah aktif menggunakan e-dompet dalam urusan jual beli di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid(gambar) berkata petanda positif itu menunjukkan peniaga telah mula menerima transaksi tanpa tunai kerana ia lebih selamat dan cepat.

“Berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan transaksi e-dagang melonjak hingga 30 peratus iaitu bersamaan RM254.6 bilion pada suku pertama 2021.

“Negara-negara di rantau Asia Tenggara kini sedang berada pada puncak fasa revolusi kewangan dengan kira-kira 49 peratus daripada penduduk bandar telah pun mengaplikasikan perkhidmatan e-dompet, dan jumlah ini diunjur mencecah 84 peratus menjelang 2025,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Peringkat Negeri Perlis malam tadi.

Turut hadir Pengarah Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan Muhamad Hanif Asa’ari, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Perlis Dr Faizal Kamarudin dan Pengarah KPDNHEP Perlis Norazah Jaapar.

Rosol berkata penggunaan e-dompet di negara telah meningkat sebanyak 131 peratus kepada melebihi 600 juta transaksi pada 2020 berbanding tahun sebelumnya.

“Menurut Laporan Paynett 2022 yang dikeluarkan baru-baru ini, peratusan rakyat Malaysia menggunakan wang tunai untuk pembayaran telah menurun kepada 11 peratus iaitu 78 peratus berbanding sebelum pandemik iaitu 89 peratus.

“Statistik ini menunjukkan bahawa digitalisasi pembayaran secara tanpa tunai telah mula diterima pakai dan dijangka menjadi budaya rakyat dalam tempoh akan datang,” katanya.

Rosol berkata setakat ini seramai 200 peniaga di Perlis telah menguna e-dompet dan berharap jumlah itu akan bertambah.-Bernama