4 individu syarikat swasta ditahan SPRM berkaitan program khas kerajaan RM114 juta

PUTRAJAYA: Empat individu yang berjawatan tinggi di syarikat swasta termasuk pengarah urusan dan pengurus besar, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan berhubung kegiatan rasuah, berkaitan satu program khas kerajaan bernilai RM114 juta.

Menurut sumber SPRM, kesemua lelaki yang berumur dalam lingkungan 38 dan 65 tahun itu, ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya petang semalam ketika hadir memberi keterangan.

Mereka yang ditahan ialah seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta berumur 65 tahun, seorang pengurus besar sebuah syarikat swasta dan dua pengarah syarikat swasta yang sama.

“Projek tersebut merupakan projek membina dan menaik taraf jalan di selatan tanah air,” kata sumber SPRM itu.

Menurut sumber SPRM itu, pengarah urusan itu dikatakan telah bertindak sebagai ‘orang tengah’ dengan meminta dan menerima rasuah daripada dua pengarah syarikat swasta tersebut, dengan dibantu oleh pengurus besar terbabit.

Sumber itu menyatakan bahawa ‘orang tengah’ itu disyaki telah meminta sebanyak tiga sehingga lima peratus daripada jumlah projek, sebagai balasan membantu syarikat swasta terbabit mendapatkan projek-projek di bawah program khas kerajaan itu.

Empat individu itu kini direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan, setelah Majistret Izra Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan yang dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi, mengesahkan penahanan keempat-empat individu tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – Bernama