KOTA BHARU: Polis menahan 412 individu termasuk remaja lelaki berusia 16 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM870,000 dalam Ops Tapis Bersepadu yang diadakan bermula 4 Sept hingga semalam.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun (gambar) berkata daripada 412 yang ditahan, 396 merupakan warga tempatan dan 16 warga asing manakala dadah dirampas boleh digunakan oleh 77,909 penagih.
“Kes terbesar yang direkodkan adalah kejayaan menahan seorang lelaki berusia 28 tahun pada 9 Sept di tepi jalan dekat Perumahan JPN Tanah Merah.
“Pemeriksaan terhadap lelaki berkenaan menemukan satu beg berzip di celah pahanya berisi satu guni berwarna putih mengandungi 36,000 pil Yaba bernilai RM396,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kointinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Beliau berkata suspek ditahan turut mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah selain positif dadah jenis Methamphetamine.
Muhamad Zaki berkata, kes kedua pula membabitkan rampasan 30,000 pil Yaba bernilai RM330,066 hasil penahanan tiga lelaki di dalam kereta di tepi Jalan Kubur Surau Mukim Jal Kechil, Tumpat pada 4 Sept.
“Pemeriksaan di dalam kereta ditemukan satu paket cerah berisi enam biji pil Yaba. Seterusnya suspek telah membawa polis ke sebuah rumah di Kampung Binjal, Tumpat dan pemeriksaan di dalam rumah menemukan satu bungkusan hitam berisi 30,000 bijil pil Yaba.
“Turut disita adalah dua motosikal bernilai RM16,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988,” katanya.
Muhamad Zaki berkata suspek telah direman sehingga 16 Sept untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati. -Bernama