48 pencawang elektrik TNB ditutup

JOHOR BAHRU: Sebanyak 48 pencawang elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) terpaksa ditutup atas faktor keselamatan berikutan banjir yang kini menjejaskan kesemua 10 daerah di negeri ini.

Pengurus Besar TNB Johor Mohamed Noh Md Seth berkata penutupan bekalan itu menyebabkan gangguan elektrik kepada kira-kira 4,800 akaun pengguna di enam daerah terlibat iaitu Segamat, Kluang, Batu Pahat, Kota Tinggi, Mersing dan Muar.

Beliau berkata 36 pencawang telah ditutup di kawasan Yong Peng, Batu Pahat; Kota Tinggi (empat); Kluang (tiga); Segamat Baru, Segamat (tiga); dan masing-masing satu di Bukit Kepong, Muar; serta Endau, Mersing, setakat 6 pagi tadi.

“Jumlah pencawang elektrik yang ditutup sebanyak 130, bagaimanapun 82 daripadanya telah disambung semula bekalan setelah air surut dan pepasangan elektrik selamat,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohamed Noh berkata tindakan itu dilakukan bagi memastikan keselamatan pengguna setempat sekiranya situasi banjir semakin buruk, berisiko dan membahayakan.

Beliau turut menasihati pengguna agar mengubah suis utama kepada kedudukan ‘off’ serta memastikan semua suis turut dimatikan dan palam kuasa peralatan elektrik ditanggalkan.

“Selain itu, dapatkan juga kontraktor elektrik yang berdaftar untuk membuat semakan pendawaian elektrik sebelum menghidupkan suis utama,“ katanya.

Menurutnya orang ramai boleh menghubungi TNB Careline 15454 atau Facebook TNB Careline untuk sebarang pertanyaan mengenai status bekalan elektrik di kawasan mereka dan sekiranya ternampak pepasangan TNB teralih atau tumbang. – Bernama