61 tahanan etnik Rohingya lolos masih belum ditemukan setakat 3 petang

ALOR SETAR: Seramai 61 tahanan etnik Rohingya yang lolos dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dekat Bandar Baharu pada 20 April lepas masih lagi belum ditemukan setakat 3 petang tadi.

Ketua Polis Kedah CP Wan Hassan Wan Ahmad berkata mereka terdiri daripada 51 lelaki dewasa, enam wanita dewasa, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.

“Jumlah tahanan yang berada di depot pula adalah lapan orang iaitu tujuh lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan. Proses dokumentasi sedang dijalankan sebelum memindahkan mereka ke depot lain.

“Setakat 3 petang ini, seramai 467 tahanan berjaya ditahan semula iaitu 243 lelaki, 91 wanita, 68 kanak-kanak lelaki dan 65 kanak-kanak perempuan. Operasi mengesan baki tahanan lain masih berjalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian awal pagi 20 April lalu, seramai 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya merusuh dan melarikan diri daripada depot tahanan tersebut kira-kira 4.30 pagi.

Bagaimanapun enam daripada mereka termasuk dua kanak-kanak maut dirempuh kereta ketika cubaan melarikan diri di KM165 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Jawi, Pulau Pinang. – Bernama