64 kes babitkan pengeluaran Tabung Haji, kerugian RM3.6 juta

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia telah mengesan taktik baharu sindiket Macau Scam untuk mengeluarkan wang daripada akaun Tabung Haji mangsa yang dihubungkan dengan akaun bank konvensional.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Mohd Kamarudin Md Din(gambar) berkata setakat ini pihaknya telah mengesan 65 kes seumpama itu melibatkan kerugian berjumlah RM3,599,275.46.

Mohd Kamarudin berkata siasatan pihaknya mendapati perkara itu berlaku apabila mangsa mendedahkan maklumat perbankan mereka kepada individu tidak dikenali yang menyamar sebagai anggota pihak berkuasa.

“Kemudahan fasiliti perbankan internet Tabung Haji yang dihubungkan dengan bank-bank konvensional yang lain telah membolehkan perkara ini berlaku.

“Sindiket ini terlebih dahulu akan membuat panggilan dan menakutkan mangsa dengan dakwaan terlibat dalam aktiviti jenayah dan tunggakan kad kredit dan untuk tujuan siasatan mangsa perlu mendedahkan maklumat perbankannya,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd Kamarudin susulan pendedahan maklumat perbankan itu, mangsa bukan sahaja kehilangan duit dalam akaun bank konvensional kepada sindiket itu tetapi juga duit dalam akaun Tabung Haji yang dihubungkan dengan bank konvensional berkenaan.

Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mendedahkan maklumat perbankan masing-masing dan memghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 untuk sebarang nasihat dan maklumat lanjut.-Bernama