69 permit ceramah diluluskan di P.Pinang

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang meluluskan sebanyak 69 permit ceramah politik sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di seluruh negeri itu setakat ini.

Jurucakap Media PRU15 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang berkata daripada jumlah itu, 34 permit diluluskan kepada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (19), Barisan Nasional (15), Pejuang (1) dan tiada permohonan daripada calon-calon Bebas setakat ini.

“Berdasarkan pemeriksaan dan pemantauan yang dijalankan oleh pihak polis mendapati tiada ceramah yang diadakan tanpa permit daripada pihak berkuasa setakat ini,“ katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sementara itu, jurucakap berkenaan berkata sehingga kini polis tidak menerima sebarang laporan berhubung insiden tidak diingini berkaitan pilihan raya.

Beliau turut menasihatkan semua parti dan penyokong supaya sentiasa mematuhi peraturan serta mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan dan tidak melakukan provokasi kepada pihak lawan sepanjang tempoh berkempen.

“Sekiranya mempunyai sebarang masalah yang timbul, mana-mana pihak boleh merujuk kepada polis untuk tindakan selanjutnya,“ katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Pulau Pinang Amir Ghazali mendakwa satu gegantung memaparkan gambar calon parti itu Nurul Izzah Anwar di Permatang dirosakkan dan pihaknya akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Sekarang sudah 2022, saya rasa sampai masanya untuk kita semua berkempen secara sihat dan bukan lagi menggunakan cara seperti itu dengan merosakkan gegantung atau bendera parti lain,“ katanya.-Bernama