70 peratus kerusi Muda selesai dibincangkan bersama PH

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) telah menyelesaikan perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH), membabitkan kira-kira 70 peratus daripada jumlah kerusi yang mahu ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presidennya Amira Aisya Abd Aziz.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Muda berkata parti itu, berhasrat bertanding kira-kira 15 kerusi, dengan salah seorang calon adalah Presiden parti itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Bermakna ada lagi perkara yang perlu kami rungkaikan antara Muda dan PH. Kita akan percepatkan perbincangan itu dalam dua tiga hari dan akan ada lagi beberapa perjumpaan dengan PH, untuk diselesaikan membabitkan beberapa kerusi lagi.

“Apabila semuanya selesai, pihak kami akan membuat pengumuman kepada semua media, mana kerusi yang kami dapat,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Turut hadir dalam rundingan berkenaan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad, Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan Setiausaha Penganjur Kebangsaan DAP Steven Sim.

Amira Aisya berkata beliau akan cuba sedaya upaya menyelesaikan masalah kerusi yang ada, dan akan memastikan bahawa pakatan pilihan raya itu berhasil.

“Setakat ini 30 peratus lagi adalah kerusi yang bertindih dan (Muda) tidak langsung meminta kerusi disandang (daripada PH). Sekiranya terdapat apa-apa pertidihan pihak kami akan sedaya upaya menyelesaikannya,” katanya. – Bernama