707 kes jenayah komersial dilaporkan di Johor setakat semalam

JOHOR BAHRU: Sebanyak 707 kes jenayah komersial melibatkan kerugian RM26.607 juta dilaporkan di negeri ini bagi tempoh 1 Jan sehingga semalam, kata Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Beliau berkata terdapat peningkatan jumlah kes sebanyak 127 kes pada tahun ini berbanding 580 kes melibatkan kerugian sebanyak RM120.751 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Kamarul Zaman berkata jenayah penipuan menjadi penyumbang tertinggi jenayah komersial iaitu 544 kes (76.9 peratus), diikuti jenayah siber sebanyak 102 kes (14.4 peratus) dan kes pemberi pinjaman wang tanpa lesen (Ah Long) sebanyak 32 kes (4.5 peratus).

“Kes jenayah penipuan melibatkan belian dalam talian mencatat jumlah tertinggi sebanyak 108 kes, diikuti kes tawaran kerja secara dalam talian (101 kes) dan Macau scam (77 kes).

“Justeru, Polis Kontinjen Johor menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati apabila berurusan secara dalam talian bagi mengelak penipuan dan menyemak terlebih dahulu talian telefon serta akaun bank yang digunakan melalui aplikasi ‘Semak Mule’ yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga menasihati orang ramai agar sentiasa mengikuti laman sosial JSJK bagi mengetahui modus operandi terbaharu jenayah komersial. – Bernama