80 persatuan sukan di KL, Putrajaya terima bantuan kewangan

PUTRAJAYA: Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menyampaikan sumbangan keseluruhan berjumlah RM318,000 kepada 80 persatuan sukan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, hari ini.

Sumbangan disampaikan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim(gambar) kepada 48 persatuan sukan di Kuala Lumpur dan 32 persatuan sukan di Putrajaya, masing-masing menerima bantuan berjumlah antara RM3,000 dan RM8,000.

“Untuk melahirkan lebih ramai juara dunia, persatuan sukan diminta kekal komited dalam melahirkan sebanyak mungkin bakat yang ada bagi mengharumkan nama negara dan mengetepikan segala isu politik dalaman bagi memberi tumpuan kepada objektif utama pembangunan sukan itu,” kata Shahidan.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian Bantuan Pentadbiran kepada Persatuan Sukan Di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur 2022 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Rosida Jaafar dan Pengarah MSWP Dr Hasnul Faizal Hushin Amri.

Untuk rekod, Shahidan menyampaikan sumbangan sama berjumlah RM88,000 kepada 24 persatuan sukan di Labuan pada 20 Ogos lepas.

Pada majlis hari ini, Shahidan turut menyampaikan Bantuan Awal Institut Pengajian Tinggi oleh Yayasan Wilayah Persekutuan berjumlah RM12,000 kepada 18 atlet Wilayah Persekutuan yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.-Bernama