Aerotrain 90 peratus siap, MAHB diharap selesaikan isu kontrak

KUALA LUMPUR: Set pertama Penggerak Penumpang Automasi atau aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kini dalam pembinaan di Wuhu, China, telah hampir 90 peratus siap, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata set pertama aerotrain yang mempunyai tiga kereta dan dengan reka bentuk yang ditambah baik dijangka dihantar ke Malaysia tahun depan.

“Reka bentuk untuk aerotrain adalah seperti sebelum ini iaitu tidak mempunyai tempat duduk kerana aerotrain untuk menghubungkan hanya dua terminal (terminal utama dan terminal satelit), satu jarak yang agak dekat.

“..tetapi ada sedikit tambahan dari segi kemudahan dan keluasan, ada kerusi disediakan untuk warga tua dan tingkap lebih besar dari segi reka bentuk untuk memastikan pemandangan di luar lebih baik dan cerah,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

Video itu dirakam ketika beliau meninjau kilang pemasangan aerotrain itu yang merupakan usaha sama antara syarikat Alstom dengan China Railway Construction Corporation Limited (CCRC).

Sementara itu, Loke berharap pihak Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dapat menyelesaikan isu kontrak agar perkhidmatan aerotrain di KLIA boleh dikembalikan pada kadar segera.

Ogos lepas, anak syarikat milik penuh MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang) telah menamatkan kontrak Pestech Technology Sdn Bhd (Pestech) untuk membekal, mereka bentuk dan pemasangan aerotrain di KLIA.

MAHB memaklumkan penamatan itu berikutan Pestech tidak menunjukkan prestasi kerja memuaskan, menjejaskan pencapaian penting projek dan berisiko kelewatan dalam menyiapkan projek pada tarikh akhir yang ditetapkan. – Bernama