Ahli Parlimen sebak sentuh isu perumahan ‘sakit’

KUALA LUMPUR: Kesusahan dan tekanan dialami pembeli sebuah projek perumahan ‘sakit’ menyentuh emosi seorang Ahli Parlimen ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) kelihatan menitiskan air mata, apabila berkongsi masalah dialami pembeli sebuah projek perumahan ‘sakit’ di kawasan Parlimen beliau, sehinggakan ada yang meninggal dunia sebelum sempat mendiami rumah mereka.

“Projek ini mempunyai 2,400 unit dan kelewatan projek ini mengakibatkan para pembeli mengalami tekanan yang berterusan, kerana mereka terpaksa terus-menerus membayar sewa rumah dan dalam masa sama terpaksa membayar kepada pihak bank.

“…keadaan kelewatan ini melahirkan satu masalah sosial, sehinggakan ada kes penceraian dalam kalangan pembeli dan ada juga dengan sedih, kita merakamkan (takziah) kepada mereka yang tak sempat masuk rumah dan meninggal dunia,” katanya dalam nada sebak.

Keadaan itu menyebabkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor meminta Zahir untuk duduk sebentar sebelum meneruskan perbahasan, namun Ahli Parlimen itu memilih untuk terus berucap.

Dalam pada itu, Zahir mengucapkan tahniah kepada Pasukan Petugas Khas di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), atas pencapaian luar biasa menyelamatkan lebih 250 projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai hingga Ogos lepas.

Beliau berkata usaha serius berkenaan telah membawa harapan kepada ribuan individu terjejas, disebabkan projek sakit berkenaan.

“Pasukan itu juga telah memberi perhatian dan bantuan yang besar kepada salah satu projek yang berada dalam keadaan sakit, yang kritikal dalam Parlimen Wangsa Maju,” katanya.

Sementara itu, Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mencadangkan supaya syarikat dan industri yang menggunakan tenaga hijau, diberikan insentif pemberian rebat cukai bagi mendorong industri beralih ke arah ekonomi rendah karbon.

“Kerajaan perlu menggunakan pendekatan dengan memperlihatkan syarikat yang menggunakan sumber tenaga boleh baharu dan mempunyai pelepasan karbon rendah atau sifar, diberikan insentif cukai atau membayar cukai lebih rendah,” katanya.

Persidangan bersambung esok. –Bernama