Ahmad Faizal nafi naikkan papan iklan sebagai bahan kempen

IPOH: Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan beliau yang menaikkan beberapa papan iklan sebagai bahan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sekitar Tambun tetapi ia sebaliknya dilakukan oleh penyokongnya.

Calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding bagi kerusi Parlimen Tambun itu berkata beliau tahu dan mengenali pihak yang menaikkan papan iklan itu malah sudah memberitahu supaya tidak menyertakan perkataan PN kerana bukan sebahagian daripada kempen parti.

“Saya fikir ia sesuatu yang ‘bijak’ dan harap ia sekadar untuk menambah warna semasa kempen ini. Walaupun nampak seperti menyindir tetapi sebahagian kita berpolitik tanpa perlu serangan peribadi dan sebagainya.

“Saya suka cara itu sebab beri sedikit elemen keseronokan, saya rasa okay sahaja,“ katanya ketika ditemui pemberita pada Ceramah Kelompok PN di Meru Perdana di sini malam tadi.

Ditanya mengenai dakwaan orang ramai berhubung kos bagi pemasangan dan pertukaran papan tanda sekitar Tambun yang dianggap membazir, beliau berkata ia bukan daripada parti atau dirinya sendiri kerana terdapat had perbelanjaan yang ditetapkan untuk berkempen mengikut peraturan.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan turut mempertikaikan saingannya yang menaikkan papan iklan di lebuh raya yang dipercayai melibatkan kos ratusan ribu selain pemasangan bendera yang terlalu banyak di kawasan awam.

Baru-baru ini, sebuah portal berita tempatan melaporkan Ahmad Faizal menaikkan beberapa papan iklan di sekitar Tambun sebagai bahan kempen PRU15.

Papan iklan itu antaranya memaparkan wajah Ahmad Faizal diiringi kata-kata ‘Never Lost In Tambun’, yang telah diturunkan dan digantikan dengan papan iklan baharu dengan tulisan ‘Dari Tambun susur keluar ke Utara, 50m’ dipercayai disasarkan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berasal dari Pulau Pinang.

Ia dikatakan sebagai respons kepada sebuah papan iklan dengan gambar Anwar dan tulisan ‘Dari Tambun untuk Malaysia’ yang dinaikkan di Jalan Chemur/Jalan Meru Impian dan sebelum ini, papan iklan menunjukkan gambar Ahmad Faizal dengan sindiran berkenaan sebutan ‘air’ dalam loghat Perak yang memaparkan kata-kata ‘Ayor bukan Ayaq’ tular di media sosial.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata kempen hari ketiga semakin rancak dengan pasukan melakukan lawatan rumah ke rumah termasuk menziarah penduduk yang sakit serta kerja pemasangan bendera parti selain memaklumkan akan melancarkan tambahan manifesto bagi negeri Perak yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau yang merupakan penyandang Ahli Parlimen Tambun berdepan Anwar mewakili PH dan Ketua UMNO Tambun Datuk Aminuddin Md Hanafiah yang mewakili BN serta Abdul Rahim Tahir dari Pejuang. – Bernama