Anwar ajak golongan pekerja perangi rasuah

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Pekerja 2023 hari ini menyeru warga pekerja untuk sebaris dalam memerangi rasuah di negara ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ketika beliau mengambil alih kerajaan, keadaan kewangan negara parah dengan hutang RM1.5 trilion yang sebahagian disebabkan oleh ekonomi dan juga ‘perompak’.

“Kalau mahu ekonomi berkembang, hasil berkembang, kena lawan dan hapus perasuah besar. Saya mahu pekerja sama barisan dengan saya, bangkit dan perang terhadap golongan yang merasuah,“ katanya pada majlis sambutan Hari Pekerja 2023 bertema “Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia MADANI” di sini hari ini.

Anwar berkata langkah penjimatan yang diambil kerajaan serta usaha memerangi rasuah akan membolehkan hasil negara bertambah sekali gus rakyat mendapat manfaat daripadanya. – Bernama