Anwar bukti keabsahannya sebagai PM10 di Parlimen

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10, apabila Usul Undi Percaya terhadapnya diluluskan dengan lebih suara bersetuju, pada hari pertama Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-15 hari ini.

Keabsahan Ahli Parlimen Tambun itu disahkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul, yang mengumumkan keputusan tersebut selepas undian suara dibuat sebaik 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, selesai membahaskannya.

Terdahulu usul itu dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong oleh seorang lagi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi dan Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung usul itu berkata walaupun Usul Undi Percaya terhadap Perdana Menteri tidak wajib dillakukan, namun kerajaan sendiri telah memohon usul tersebut untuk dikemukakan pada persidangan kali ini.

Beliau berkata ia bagi membuktikan Ahli Parlimen Tambun itu mendapat keyakinan untuk menjadi Perdana Menteri ke-10, setelah mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov.

Azalina berkata sebelum ini kerajaan memerintah pernah dua kali membawa Usul Undi Percaya iaitu pada 1976 ketika Allahyarham Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri ketiga dan pada 2003 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri kelima.

“Saya ingin tekankan apa yang berlaku pada hari ini ialah permohonan (usul undi percaya) oleh kerajaan sendiri yang mana peraturan mesyuarat Parlimen membenarkan ia dilakukan.

“Saya mengambil contoh di New Zealand semasa Perdana Menteri Jacinda Ardern mewujudkan kerajaan gabungan, beliau telah wujudkan satu usul undi percaya untuk memberikan keyakinan dalam Parlimen,” katanya.

Menyentuh tentang mekanisme Perjanjian Persefahaman Kerjasama antara gabungan Kerajaan Perpaduan yang didakwa tidak sah dan tidak berperlembagaan oleh pembangkang, Azalina berkata perkara itu tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan dan sah di sisi undang-undang.

“Kerajaan gabungan dari segi sains politik falsafah mempunyai hak untuk bergerak dalam mana-mana cara.

“Tetapi yang lebih penting cara gerakan kami mewujudkan kerajaan ini adalah atas titah Yang di-Pertuan Agong. Jadi cara kami membentukkan hubungan kami adalah hak mutlak kami,” tegasnya.

Mengulas dakwaan ada parti komponen yang tidak berpuas hati dan kononnya dipaksa menandatangani dokumen perjanjian itu, Azalina berkata sebarang perselisihan dan salah faham, dibincang dan diselesaikan secara harmoni menerusi Majlis Perundingan.

Beliau berkata majlis itu akan dianggotai oleh wakil daripada parti utama yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia ketika ini iaitu PH, BN, GPS, GRS dan WARISAN, dan berperanan memastikan segala terma yang dipersetujui dalam perjanjian itu, dilaksanakan dengan cermat dan teratur.

Terdahulu Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menandatangani perjanjian persefahaman, menyekat dan merosakkan demokrasi serta kebebasan parlimen.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula mengatakan perjanjian itu bertentangan dengan Akta Kontrak.-Bernama