Anwar lawat mangsa banjir di Segamat

SEGAMAT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gemereh, dekat sini.

Anwar yang tiba kira-kira 11.20 pagi di PPS berkenaan, meluangkan masa kira-kira 20 minit bertemu mangsa banjir di PPS itu yang menempatkan 125 penduduk daripada 32 keluarga itu.

Selain beramah mesra dan bertanya khabar, beliau turut meninjau ruangan aktiviti psikologi pendidikan untuk anak-anak mangsa banjir, yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketibaan beliau juga mengujakan penghuni PPS, termasuk warga emas dan anak muda, yang ternyata gembira dapat melihat dengan lebih dekat wajah pemimpin nombor satu negara itu.

Terdahulu Anwar mendengar taklimat situasi semasa bencana banjir di daerah itu di Kem 4, Rejimen Artileri Diraja, Segamat.

Beliau selepas ini dijadual melawat mangsa banjir PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kampung Tengah, yang menempatkan 502 penduduk dari 133 keluarga.

Setakat 8 pagi ini, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 44,860 orang dengan Batu Pahat paling teruk terjejas.

Banjir di Johor turut mengakibatkan empat orang terkorban setakat ini.

Anwar sebelum ini berkata Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan bantuan segera banjir berjumlah RM50 juta kepada negeri Johor, bagi membantu mangsa banjir serta keperluan-keperluan segera di negeri itu. – Bernama