Anwar: Malaysia-UAE sepakat tingkat kerjasama

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sepakat untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pertahanan dan tenaga.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan di Facebook rasminya hari ini memaklumkan perkara itu adalah antara perbincangan beliau dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed Bin Zayed Al Nahyan menerusi panggilan telefon semalam.

“Saya juga ambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Mulia Sheikh Mohamed atas bantuan UAE terhadap Malaysia dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi di Syria baru-baru ini,” katanya.

Kerajaan UAE dan Persatuan Bulan Sabit Merah negara itu telah menyampaikan sumbangan Malaysia sebanyak 42 tan barangan bantuan kemanusiaan kepada Syria.

Anwar juga berkata beliau berbesar hati untuk menerima lawatan Sheikh Mohamad ke Malaysia tahun ini dan berharap dapat mengadakan lawatan ke UAE dalam masa terdekat. – Bernama