APM ada kuasa arah mangsa banjir berpindah

KUALA LUMPUR: Pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mempunyai kuasa mengarahkan mangsa banjir untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) jika perlu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Norhafifi Ismail berkata perkara berkenaan tertakluk kepada Seksyen 4C Akta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia 1951 atau Akta 221 yang menjelaskan kuasa yang boleh dikeluarkan oleh mana-mana pegawai dan anggota APM untuk mengarahkan pengungsian (diarahkan keluar mengosongkan premis) mana-mana kawasan, bangunan atau tempat termasuk menahan, memindah dan menyebabkan dipindahkan mana-mana orang yang tidak mematuhi arahan untuk berpindah.

“Perlu dinyatakan bahawa pada peringkat Monsun Timur Laut 2022/2023 ini, pihak APM akan melaksanakan pemakaian kuasa ini secara berhemah dan memohon orang awam atau mangsa bencana mengambil langkah berpindah awal atau apabila diarahkan berpindah demi keselamatan nyawa semua pihak yang terlibat.

Bagi maksud ini juga, APM menyeru penduduk awam untuk mematuhi Arahan Wajib Berpindah sekiranya diarah untuk berpindah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata pihak APM dan semua agensi pengurusan bencana sentiasa bersama masyarakat dengan pelbagai langkah proaktif bagi memastikan keselamatan komuniti terjamin.

Beliau berkata orang ramai perlu bertenang, tidak panik dan mematuhi arahan pihak berkuasa untuk keselamatan diri dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa dengan mendapatkan informasi sahih melalui media rasmi kerajaan.

Dalam perkembangan sama, Norhafifi berkata seramai 10,510 anggota dan pegawai APM manakala 1,240 aset darat dan air akan terlibat dalam operasi bagi menghadapi Monsun Timur Laut di seluruh negara yang dijangka bermula November depan.

“Aset berkenaan termasuk 759 buah bot dan 481 kenderaan termasuk lori, van, bas, kereta pacuan empat roda dan ambulans.

Latihan simulasi juga telah dilaksanakan di setiap zon seperti pengurusan PPS, operasi mencari dan menyelamat serta program pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Sementara itu, selain bersiap siaga menghadapi monsun, katanya APM turut akan melakukan penugasan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 termasuk melaksanakan tugasan di bilik gerakan pilihan raya, membuat pemantauan dan rondaan semasa proses pilihan raya, membantu pihak keselamatan dalam saluran mengundi serta menghulur bantuan awal kecemasan dan rawatan.

“Tahun ini mungkin terdapat kesukaran sedikit sekiranya monsun berlaku dan bertindih dengan PRU15, kerana ada anggota yang terlibat akan dibahagikan tugasan secara serentak selain kemungkinan penggunaan pusat mengundi sama dengan pusat pemindahan sementara,” kata Norhafifi.

Namun katanya pihak agensi mempunyai strategi supaya perkara ini dapat ditangani dan berjalan lancar.-Bernama