Bekalan beras, teroka REE antara dibangkitkan ahli parlimen

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran melaksanakan pendekatan lebih proaktif bagi produktiviti penghasilan beras serta penanaman padi tempatan dalam memastikan bekalannya terus mencukupi di negara ini.

Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang membangkitkan perkara itu dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (peringkat dasar) di Dewan Rakyat hari ini, berkata sudah sampai masanya kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran import terutama dalam memperoleh beras.

“Bukan setakat letak sasaran 80 peratus beras tempatan menjelang 2030, malahan sepatutnya meletakkan sasaran menjelang 2035 bahawa 100 peratus beras tempatan adalah hasil tempatan…itulah sasaran yang kita kena tuju untuk kita menggerakkan semua usaha yang kita ada.

“Kita kena kurangkan kebergantungan kepada import. Kena ingat walaupun ada duit nak beli (beras dari) negara asing, tidak kira dari mana-mana negara, namun apabila mereka kekurangan hasil, mereka akan melarang eksport ke negara lain dan kita akan menjadi mangsa,“ katanya.

Cha yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian turut menggesa kerajaan memperkasakan pertanian pintar di negara ini seperti yang dilaksanakan di Jepun dalam memastikan bekalan makanan mencukupi untuk rakyat.

“Jepun mempunyai bekalan jualan dan kemampuan membekalkan beras 100 peratus malahan lebih daripada itu kepada penduduknya yang berjumlah 125 juta orang dengan lebih 50 peratus petaninya sudah berusia 60 tahun ke atas.

“Usia semakin meningkat, (tetapi) petani tidak menjadikannya alasan dan produktivitinya tetap tinggi sebab mereka guna pertanian pintar,“ katanya.

Selain isu bekalan beras, turut dibangkitkan dalam sesi perbahasan pada hari ini termasuk soal unsur nadir bumi (REE), yuran pengajian Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta melonjakkan sektor pelancongan.

Dalam isu REE, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) meminta kerajaan menyediakan kepakaran dalam bidang penerokaan bahan mineral itu bagi memastikan negeri-negeri yang mempunyai stok simpanannya dapat memanfaatkan sepenuhnya bahan berkenaan.

Beliau berkata ini memandangkan Malaysia memiliki simpanan REE yang sangat besar dengan tujuh negeri sudah dikenal pasti mempunyai sumber itu yang sangat berpotensi untuk menambah pendapatan negara.

“Tanpa kepakaran yang ada, saya bimbang ia akan diceroboh, dicuri dan dibawa keluar,“ katanya.

Menyentuh mengenai sektor pendidikan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mencadangkan sistem wakaf diguna pakai bagi membantu mengurangkan yuran pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), khususnya bagi pelajar kumpulan B40.

Menurutnya melalui sistem berkenaan, pihak universiti boleh mendapatkan pulangan pelaburan dana wakaf bagi membiayai kos operasi dan pembangunan universiti dan pada masa sama tidak bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan.

“Ini merupakan konsep terbaik dan dilakukan di negara luar seperti di Universiti Harvard yang mempunyai dana wakaf sebanyak US$49.5 bilion. Kerajaan juga disaran membantu menganjurkan donation matching atau pengecualian cukai bagi semua penderma wakaf,” katanya.

Beliau berkata inisiatif tersebut memerlukan peruntukan kerajaan di peringkat awal sahaja, namun ia akan dapat menjimatkan wang kerajaan pada masa depan dengan penambahan pulangan dana wakaf tersebut.

Dalam pada itu, Datuk Radzi Jidin (PN-Putrajaya) pula menyarankan kerajaan mewujudkan satu pasukan petugas melibatkan kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan sektor pelancongan dapat dilonjakkan segera sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata fokus perlu diberikan pada aspek pelancongan bernilai tinggi, selain usaha memastikan pelancong asing berbelanja sewaktu berada di negara ini dan kerajaan boleh pertimbangkan insentif khas untuk segmen tertentu seperti pelancongan kesihatan dan pelancongan alam semula jadi.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin.-Bernama