Belanjawan 2024 buka peluang kontraktor kecil: CIDB

KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM72.7 bilion dalam Belanjawan 2024 untuk pelaksaan kerja-kerja pembinaan akan membuka peluang kerja kontraktor-kontraktor kecil dan sederhana (G1 hingga G4) dalam usaha merancakkan lagi industri pembinaan negara.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Datuk Mohd Zaid Zakaria berkata bagi melaksanakan projek-projek ini secara berkesan ia memerlukan kontraktor serta personel binaan yang mahir dan juga mempunyai kompetensi yang diiktiraf.

“Oleh yang demikian, CIDB akan menyediakan latihan-latihan kemahiran yang diperlukan untuk pelaksanaan projek-projek yang tersenarai di dalam Belanjawan 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata CIDB turut melaksanakan latihan pengurusan projek dan kewangan untuk para kontraktor.

Sejak tahun 2000, CIDB telah melatih lebih daripada 400,000 pekerja mahir pembinaan di dalam pelbagai bidang yang amat diperlukan industri dan seramai 99,000 penyertaan bagi Kursus Pengurusan Kontraktor dicatatkan sejak 2014, katanya.

Mohd Zaid berkata pada 2022 CIDB telah membelanjakan hampir RM30 juta untuk melatih belia dan personel binaan dan seramai 3,742 belia serta 5,178 personel binaan telah mengikuti latihan kemahiran yang dijalankan oleh CIDB Malaysia.

“CIDB bersedia dalam melaksanakan inisiatif ini yang mendokong salah satu prinsip-prinsip utama MADANI iaitu mendorong kepelbagaian dan inklusiviti dalam tenaga kerja yang melibatkan masyarakat tempatan dalam projek pembinaan,” katanya. – Bernama