Bengkel SPM SMK Infant Jesus Convent tidak diskriminasi agama, bangsa pelajar

JOHOR BAHRU: Program Bengkel Pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent di sini, baru-baru ini, didapati tidak mengabaikan dan mendiskriminasi agama dan bangsa pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Norlizah Noh berkata pihaknya telah memanggil beberapa individu termasuk Pengarah Pendidikan negeri, pengetua, guru-guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu bagi mendengar sendiri penjelasan terhadap dakwaan mengenai program yang dijalankan hanya melibatkan pelajar Muslim.

“Melalui pencerahan yang diberikan oleh pihak sekolah dan selaras dengan kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM), program yang dijalankan oleh pihak sekolah tidak mengabaikan dan mendriskriminasi agama dan bangsa pelajar.

“Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar tidak mengeluarkan pendapat sendiri di media sosial kerana perkara ini boleh menimbulkan suasana yang tidak harmoni terutama kepada negeri Johor,“ katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Justeru, beliau menyeru orang ramai terutama ibu bapa, jika terdapat sebarang aduan melibatkan sekolah dan murid menyalurkan aduan itu kepada pihak berwajib melalui saluran atau platform yang disediakan oleh pihak KPM.

Pada masa sama beliau turut menjunjung kasih titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar tiada orang yang disisihkan daripada mana-mana program atas sebab agama dan bangsanya.

Beliau berkata kerajaan negeri komited menjadikan sekolah sebagai medan untuk menyemai semangat perpaduan dan menolak sebarang program atau aktiviti yang boleh membawa kepada diskriminasi kaum dan agama.

“Identiti Bangsa Johor itu sendiri cukup sinonim sebagai pemangkin semangat untuk membentuk keharmonian, persefahaman dan toleransi antara pelbagai kaum dan agama di negeri ini,“ katanya.

Semalam, Sultan Ibrahim dipetik bertitah sebarang isu yang boleh mengancam keharmonian dan perpaduan Bangsa Johor mesti ditangani dengan cekap oleh pihak berkuasa.

Baru-baru ini tular dakwaan di Twitter kononnya wujud diksriminasi dalam bengkel anjuran SMK Infant Jesus Convent yang diadakan di Hotel Suasana di sini. –Bernama