Bidoglio bangga bantu JDT cipta sejarah selepas lalui tempoh sukar

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio melahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada semua pihak selepas berjaya membimbing pasukan itu menjuarai Piala Malaysia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Kejayaan menewaskan Selangor FC 2-1 menyaksikan Harimau Selatan mencipta sejarah muncul pasukan pertama menyapu bersih semua trofi tahun ini dengan melengkapkan koleksi sebagai juara Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super dalam kancah domestik.

Pencapaian itu juga menyaksikan Bidoglio sudah mengumpul tiga kejuaraan domestik sejak dilantik sebagai pengendali skuad Harimau Selatan menggantikan Benjamin Mora, Julai lalu.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada bos (pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim), pengurus, semua kakitangan dan pemain saya.

“Saya tiba di JDT ketika saat sukar, bukan mudah apabila anda tiba untuk mengemudi pasukan yang sentiasa menang dan anda perlu pergi dengan cara yang sama. Ia adalah masa yang sukar tetapi saya gembira kami berjaya melakukannya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini.

Sementara itu, penjaring gol kemenangan JDT, Fernando Forestieri, yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir, mengucapkan terima kepada semua pihak yang membolehkan pencapaian tersebut musim ini.

“Saya sangat gembira kerana semua orang tahu betapa kami bekerja keras dan merupakan tahun menakjubkan dan kami berhak merangkul kesemua trofi musim ini,” katanya.

Dalam pada itu, pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya dalam 90 minit perlawanan walaupun akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan.

“Saya sangat puas hati dengan setiap peningkatan individu pemain semenjak saya dilantik sebagai jurulatih dua bulan lalu. Perlawanan ini menunjukkan kemenangan itu berpihak kepada mereka (JDT) yang mempunyai pengalaman yang lebih luas,” kata pengedali berusia 54 tahun itu.

Pada aksi malam ini, Selangor terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-45 hasil sepakan penalti Herlison Caion De Souza Ferreira sebelum JDT bangkit meledak dua gol masing-masing menerusi Bergson Da Silva pada masa kecederaan babak pertama dan Fernando Forestieri pada minit ke-59.

Selangor terus kempunan merangkul sebarang gelaran juara dalam tempoh tujuh tahun selepas kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2015.-Bernama