BN sedia jadi jambatan kukuhkan hubungan baik Semenanjung, Sabah dan Sarawak: Zahid

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menerima dan menghormati keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 serta menganggap ia satu isyarat besar kepada gabungan politik itu selain sedia menjadi jambatan bagi mengukuhkan hubungan baik antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pada masa sama, BN juga bersedia mengetepikan perbezaan sentimen sesama ahli parti sebelum ini.

“BN dalam masa terdekat akan memberikan tumpuan bagaimana untuk mengembalikan kekuatan parti terutama dalam menangani cabaran semasa dan lebih memahami keperluan generasi baharu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media malam ini memaklumkan setakat 12.15 tengah malam, keputusan 112 kerusi Parlimen telah diketahui.

Pakatan Harapan memperoleh 28 kerusi diikuti Gabungan Parti Sarawak (20), PAS (18), Perikatan Nasional (17), BN (16) dan Gabungan Rakyat Sarawak (empat).

Warisan pula memperoleh dua kerusi manakala Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Bangsa Malaysia dan Bebas masing-masing satu kerusi. – Bernama