Boccia sumbang sebutir emas, dua perak

HANGZHOU: Kontinjen Malaysia meneruskan momentum cemerlang di temasya Sukan Para Asia Hangzhou 2022 apabila boccia menyumbangkan sebutir emas dan dua perak hari ini.

Lagu Negaraku berkumandang di Gimnasium Hangzhou, apabila Noor Askuzaimey Mat Salim meraih emas menerusi acara individu wanita BC4.

Noor Askuzaimey yang juga pemenang pingat emas Sukan Para ASEAN Kemboja mengatasi wakil tuan rumah, Ximei Lin 3-2 pada perlawanan akhir.

Yuen Cheung dari Hong Kong meraih gangsa selepas menewaskan Nuanchan Phonsila dari Thailand 3-2.

Sementara itu, Angeline Melissa Lawas dan Lee Chee Hoong masing-masing terpaksa berpuas hati dengan perak.

Angeline Melissa tewas 2-8 kepada Qi Zhang dari China pada final acara individu wanita BC1 manakala Chee Hoong yang merupakan pemenang pingat emas Piala Dunia 2022 tewas 3-5 kepada Felix Ardi Yudha dari Indonesia pada final acara individu lelaki BC2. -Bernama