Butir nako emas resipi istana Thailand terima permintaan tinggi

KOTA BHARU: Warnanya yang kuning keemasan dan berbentuk seperti biji nangka mempesona sesiapa yang melihat.

Apatah lagi pada bulan Ramadan ini, kuih butir nako emas dicari-cari ramai untuk dinikmati sebagai juadah berbuka puasa.

Pengusaha kuih tersebut dari Rantau Panjang, Pasir Mas, Suri Wan Ali, 36, berkata kuih itu yang turut dikenali sebagai biji nangka emas merupakan pencuci mulut yang berasal dari istana Thailand.

Bercakap kepada Bernama, Suri berkata sebelum ini kuih berkenaan hanya boleh didapati di Rantau Panjang, namun ekoran permintaan tinggi, beliau kini turut menjualnya di cawangan kedua perusahaan itu di sini, sejak tiga tahun lepas.

“Ibu saya, Wan Ramlah Wan Harun, 60, belajar kaedah menghasilkan kuih ini daripada arwah bapa Wan Ali Wan Harun yang berasal dari Golok, Thailand, menggunakan resipi asli daripada istana Thailand sejak kira-kira 30 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di premis pembuatan kuih tersebut di Jalan Tok Hakim di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Suri berkata butir nako emas rumit untuk dibuat kerana memerlukan penelitian yang tinggi, malah mengambil masa selama dua hari bagi mendapatkan bentuk biji nangka yang cantik.

Menurutnya, kuih itu dihasilkan menggunakan bahan asas seperti kacang hijau, kacang dal, santan, air gula dan kuning telur.

“Proses pertama, saya perlu kukus kacang hijau bersama kacang dal dan gaul dengan santan sehingga sebati untuk digentel menjadi bentuk bujur kecil seperti biji nangka.

“Proses itu diteruskan dengan mencelup kuih butir nako emas bersama kuning telur, kemudian dimasukkan ke dalam air gula yang telah dipanaskan,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Katanya apabila telah masak, kuih tersebut perlu direndam sekali lagi ke dalam air gula agar kelihatan berkilat dan kuning keemasan.

Butir nako emas dijual pada harga RM100 sedulang yang berisi lebih 60 biji kuih, katanya.

Suri berkata fasa peralihan endemik memberi limpahan rezeki kepada perniagaannya yang diusahakan bersama suami, Sani Ismail, 66, sehingga mereka tidak menang tangan memenuhi permintaan.

“Pada Ramadan kali ini tempahan diterima lima kali ganda, termasuk dari dalam dan luar negara seperti Brunei. Malah ada pelanggan dari Kuala Lumpur datang ambil sendiri tempahan,“ katanya yang dibantu enam pekerja.

Selain butir nako emas, beliau turut menjual 25 jenis kuih lain seperti mokeng, kuba guling, sekaya labu, sekaya nangka, koleh tahi minyak dan koleh ubi keledek.-Bernama