Chang Lih Kang galas tanggungjawab majukan Sains dan Teknologi negara

IPOH: Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang kini menggalas tugas sebagai Menteri Sains dan Teknologi dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Chang, 42, memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Anak kelahiran Ipoh itu pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur Parlimen Malaysia, Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri dan Koordinator Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).

Dalam kerjaya politik, bapa kepada dua anak itu sebelum ini pernah menjadi Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR sebelum dilantik Setiausaha Angkatan Muda Keadilan PKR dan kini Naib Presiden PKR.

Di peringkat negeri, beliau sebelum ini memegang jawatan Naib Pengerusi PKR Perak dan kini Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Perak selepas mengambil alih kepimpinan yang dikosongkan oleh Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang kemudiannya diisi sementara oleh bekas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Chang memenangi kerusi Parlimen Tanjung Malim dengan majoriti sebanyak 3,541 undi daripada 25,140 undi menewaskan pencabar utamanya Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi daripada Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 21,599 undi manakala calon Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Mah Hang Soon memperoleh 20,963 undi.

Chang juga sebelum ini pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja selama dua penggal pada 2008 hingga 2018 sebelum digantikan oleh Sandrea Ng Shy Ching yang kini Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Perak. –Bernama