China sedia mulakan rundingan substantif dengan DEPA

BEIJING: China bersedia untuk mengadakan dialog yang konstruktif peringkat kementerian dengan Chile, New Zealand dan Singapura berhubung pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Digital (DEPA).

Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan setakat ini pihak China sudah dua kali menyertai persidangan wakil perunding kanan dengan negara anggota DEPA.

Selain itu, China turut serta dalam rundingan peringkat teknikal, seminar perundangan dan peraturan digital bagi menjawab pertanyaan dikemukakan negara anggota DEPA mengenai pengurusan ekonomi digital China.

DEPA menyambut baik usaha yang dilaksanakan China yang memperlihatkan keikhlasan negara ini untuk mendorong keterbukaan ekonomi digital serta kerjasama sama menang.

China juga akan membuat persiapan rapi untuk menyerdiakan kerangka kerjasama selain turut mengadakan rundingan secara substantif.

Selain itu China juga bersedia membentuk persekitaran perkembangan ekonomi digital yang terbuka dan selamat bersama dengan pelbagai negara, berkongsi hasil dalam bidang berkenaan, dan memberikan sumbangan positif kepada perkembangan ekonomi digital global.

Presiden Xi Jinping pada 30 Oktober 2021 mengumumkan China akan memeterai DEPA.

Pada 1 November 2021 permohonan rasmi untuk menandatangani perjanjian itu telah dikemukakan Menteri Perdagangan China, Wang Wentao kepada New Zealand.-Bernama