Chong Wei naikkan semangat calon BN Kulai

JOHOR BAHRU: Pertemuan dengan legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei membakar semangat calon Barisan Nasional (BN) Kulai Chua Jian Boon untuk mengharungi tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berbaki seminggu lagi.

Chua yang sedang bertemu anak-anak muda di sebuah kafe di Kulai pagi ini, terkejut dengan kehadiran Chong Wei di situ.

Chong Wei sebelum itu menghadiri Tebrau Cup Tournament di sini sebelum meluangkan masa kira-kira sejam untuk bersama anak-anak muda berkenaan.

“Saya sebelum ini pernah jumpa beliau beberapa kali, tetapi kali ini saya sebagai calon. Apabila beliau mahu datang, saya rasa terkejut dan juga bersyukur. Beliau suruh saya teruskan berjuang, walaupun susah, tetapi saya tetap kena terus bekerja.

“Kita boleh belajar dengan semangat beliau, setiap kali jatuh bangun semula. Tengok sendiri perlawanan-perlawanan beliau, walaupun kalah tetap tidak putus asa dan bangun balik sampai dapat jadi nombor satu dunia,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Parlimen Kulai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Chua, calon Pakatan Harapan (PH) Teo Nie Ching dan Datuk Tan Chin Hock dari Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, calon BN Tebrau Datuk Nicole Wong Siaw Ting menerusi hantaran di Facebook berkongsi bahawa beliau sempat bermain badminton dengan Chong Wei ketika Tebrau Cup Tournament berkenaan.

“Nicole juga berharap semangat kesukanan ini dapat diaplikasikan dalam politik, bahawa kita semua bekerja keras terhadap matlamat sama iaitu demi masa depan yang cerah negara kita, Malaysia,“ kata Wong yang juga Ketua Pemuda MCA.

Parlimen Tebrau menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Wong, Jimmy Puah Wee Tse (PH) dan Mohamad Isa Mohamad Basir (PN).-Bernama