Dakwaan Anwar terima gaji RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi Selangor fitnah berulang

SHAH ALAM: Dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima RM15 juta semasa menjadi Penasihat Ekonomi Selangor merupakan pengulangan fitnah yang telah dinafikan berulangkali.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Juwairiya Zulkifli dalam kenyataan menerusi Facebooknya berkata dakwaan itu dilontarkan bekas perdana menteri itu ketika ceramah kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai.

Katanya dakwaan tersebut telah berulangkali dinafikan termasuk dalam jawapan rasmi Menteri Besar Selangor ketika itu Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Semasa tempoh Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Penasihat Ekonomi Selangor, beliau hanya diberikan gaji simbolik RM1 setahun. Gaji tersebut tidak dibayar kepada beliau sejak tarikh lantikan. Beliau tidak menerima sebarang bayaran elaun atau keistimewaan selain gaji RM1 tersebut,” katanya.

Juwairiya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati berkata perkara itu juga telah jelas tertera dalam hansard DUN Selangor menerusi jawapan kepada soalan ADUN.

“Dengan mengitar semula rekaan yang tidak berasas ini menunjukkan keterdesakan dan kemuflisan modal politik PN dalam usaha kempen mereka setelah gagal membentuk Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata tindakan menabur fitnah serta dakwaan palsu bagi mengaburi fikiran rakyat sangat tidak bertanggungjawab dan jelas terkeluar dari nadi politik Melayu-Islam yang selalu mereka dendangkan.

“Saya percaya di pihak Perdana Menteri wajar mengambil tindakan selanjutnya bagi menghalang pengulangan fitnah ini terus dijaja oleh mereka yang bankrap akhlak dan etika dalam berpolitik,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial TikTok yang memaparkan Muhyiddin mendakwa Anwar dibayar gaji RM15 juta semasa menjadi Penasihat Ekonomi Negeri Selangor dalam ceramah politiknya semasa kempen plihan raya Parlimen Padang Serai. – Bernama