Deraf penghakiman kes Najib bocor, Pejabat Ketua Pendaftar buat laporan polis

KUALA LUMPUR: Pihak Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) telah membuat laporan polis berkenaan deraf kerja penghakiman berhubung rayuan akhir Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang telah bocor kepada pihak media hari ini.

Dalam satu kenyataan lewat petang ini, pihak PKPMP merujuk kepada satu laporan yang disiarkan portal Malaysia Today hari ini bertajuk “Najib’s Razak SRC Appeal: The Judgement” yang mengandungi deraf kerja yang belum dimuktamadkan serta dokumen bocor yang telah diubah suai.

“Penyiasatan dalaman telah dimulakan dan pejabat ini mengesahkan dokumen tersebut merupakan deraf kerja yang belum dimuktamadkan.

Penghakiman muktamad hanya disampaikan di mahkamah terbuka pada lebih kurang jam 4 petang pada tarikh yang sama,“ menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan perbuatan membocorkan deraf kerja merupakan suatu tindakan sengaja untuk menjejaskan integriti pengoperasian mahkamah dan pentadbiran keadilan.

“Badan Kehakiman tidak akan diganggu-gugat oleh perbuatan-perbuatan yang menyalahi undang-undang dan menjejaskan integriti sistem kehakiman negara,“ katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.-Bernama