Desas-desus rombakan Kabinet: “saya fikir dahulu”

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata beliau akan memikirkan terlebih dahulu berkaitan isu rombakan Kabinet.

“Saya fikir dahulu,” katanya ringkas kepada pemberita bagi menjawab desas-desus kemungkinan berlaku rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan beliau.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata tiada perbincangan mengenai rombakan Kabinet dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kemungkinan berlaku penyusunan semula Kabinet dalam masa terdekat, dengan beberapa menteri diramal digugurkan dan dakwaan rombakan itu hanya akan dilakukan selepas Pilihan Raya Kecil Pelangai pada 7 Okt ini. –Bernama