Didakwa lulus projek selepas parlimen bubar, Tuan Ibrahim akan fail saman fitnah

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) akan memfailkan saman fitnah terhadap Timbalan Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli berhubung dakwaan kelulusan projek tebatan banjir dilakukan selepas pembubaran Parlimen.

Tuan Ibrahim berkata beliau telah mengarahkan penguamnya Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid untuk berbuat demikian apabila menerima jawapan bertulis daripada peguam Mohd Rafizi atau selepas tamat tempoh tujuh hari yang telah diberikan dari 10 Nov.

Menurut Tuan Ibrahim, Mohd Rafizi yang mengadakan sidang media semalam kononnya bertujuan menjawab tuntutan yang dikemukakan olehnya sebelum ini dan memberi bukti kukuh berkenaan dakwaan itu, namun hanya membuat tuduhan palsu serta penyelewengan fakta berniat jahat untuk menjatuhkan reputasinya.

Beliau berkata pada sidang media tersebut, Mohd Rafizi menyatakan surat bertarikh 7 Okt 2022 dikeluarkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk memaklumkan keputusan Menteri Kewangan meluluskan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 secara rundingan terus kepada Mangkubumi Sdn Bhd.

“Berdasarkan kepada surat tersebut, adalah jelas bahawa kelulusan tersebut bukanlah dibuat oleh saya ataupun KASA. Surat tersebut dikeluarkan pada 7 Okt 2022, sebelum Parlimen dibubarkan dan bukan semasa tempoh kerajaan sementara,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Justeru, Tuan Ibrahim berkata Mohd Rafizi gagal sama sekali mendedahkan bukti keterlibatan dirinya dalam kelulusan projek termasuk usahanya atau KASA untuk menganugerahkan projek tersebut ketika kerajaan sementara.

Tuan Ibrahim berkata beliau telah menyatakan dengan jelas bahawa dirinya tidak pernah berjumpa, berunding atau membuat apa-apa tindakan semasa tempoh kerajaan sementara ke arah menganugerahkan projek tersebut.

“Oleh yang demikian, terbukti dengan jelas bahawa kenyataan-kenyataan Mohd Rafizi termasuk sidang media semalam adalah satu fitnah jahat bagi menghancurkan reputasi saya khususnya dan juga parti PAS umumnya,” katanya yang juga Timbalan Presiden PAS.

Semalam, media melaporkan Mohd Rafizi dituntut mengemukakan permohonan maaf dan mencadangkan ganti rugi yang perlu dibayar kepada Tuan Ibrahim kerana didakwa memfitnah berhubung dakwaan kelulusan projek berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Rafizi mendakwa KASA dalam proses menganugerahkan projek bernilai RM2 bilion secara rundingan terus ketika kerajaan semasa sudah dibubarkan.-Bernama