Dua pembantu penguat kuasa ditahan SPRM

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan dua pembantu penguat kuasa kanan sebuah agensi kerajaan yang disyaki menerima wang rasuah bagi urusan permohonan lesen kenderaan ‘gerenti lulus.’

Menurut sumber, kedua-dua suspek iaitu seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an itu ditahan pada kira-kira 3 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor hari ini.

Ia susulan penahanan dua suspek sebelum ini membabitkan seorang wanita yang juga pekerja sambilan dan seorang pengajar lelaki di sebuah sekolah memandu kerana disyaki meminta wang daripada calon ujian memandu sebagai dorongan bagi mendapatkan lesen gerenti lulus.

Tambah sumber itu, suspek terbabit masing-masing dipercayai menerima wang tunai berjumlah RM1,750 dan RM750 bagi tujuan tersebut.

Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim pula mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata kedua-dua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret pagi esok untuk permohonan reman. – Bernama