‘Duta Madani Perpaduan’ murid sekolah pupuk semangat perpaduan: Fadhlina

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mahu menjadikan murid sekolah di seluruh negara sebagai ‘Duta Madani’ peringkat kementerian itu dalam usaha memupuk semangat perpaduan selaras dengan konsep Malaysia Madani.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (gambar), berkata perkara itu dicetuskan selepas mendapat inspirasi melalui Festival Semarak Ilmu Tahun 2023 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Sentul, di sini, hari ini.

“Saya tegaskan program ini mesti diteruskan dan anak-anak sekolah yang menyertai program hari ini telah pun saya isytiharkan sebagai ‘Duta Madani Perpaduan’ khususnya di peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“KPM akan teruskan program seperti ini dalam usaha memupuk perpaduan dan juga pembinaan negara Madani dan pengukuhannya melalui program sebegini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan festival berkenaan.

Fadhlina berkata fungsi duta Madani KPM adalah penting bagi menggagaskan optik lebih jelas mengenai perpaduan di peringkat sekolah dan integrasi kaum.

“…ia juga melibatkan pengukuhan idealisme daripada segi kerangka Malaysia Madani yang inklusif dengan turut mempunyai potensi seni dan budaya yang mesti dipertahankan dan diperkembangkan,” katanya.

Menurut beliau, Duta Madani Perpaduan peringkat KPM akan diperluaskan dan diumumkan dalam rangka lawatannya ke negeri-negeri lain dari semasa ke semasa.

“KPM akan memanggil anak-anak sekolah dari semasa ke semasa untuk dilantik sebagai Duta Madani Perpaduan. Bawa mereka untuk bersama berkongsi dengan negeri-negeri lain juga berkaitan dengan potensi (bakat) dan juga bagaimana untuk terus jadi Duta Madani di peringkat sekolah,” katanya.

Sementara itu, Festival Semarak Ilmu Tahun 2023 diadakan bagi mengetengahkan bakat , kreativiti serta potensi murid-murid sekolah di daerah Sentul menerusi pelbagai aktiviti, antaranya, persembahan daripada johan bercerita, tarian rakyat dan tradisional, koir, deklamasi sajak, bicara berirama, gamelan dan anglung. –Bernama