Enam lelaki ditahan disyaki serang seorang individu guna parang

JOHOR BAHRU: Polis menahan enam lelaki tempatan dipercayai menyerang seorang lelaki bersenjatakan parang sehingga menyebabkan kecederaan dalam kejadian di sebuah kedai di Jalan Senai Utama di Senai, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata kesemua suspek berusia lingkungan 23 hingga 42 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di sekitar Senai pada Sabtu dan semalam.

“Pada Khamis lepas, kira-kira pukul 1.30 pagi, polis menerima laporan terdapat seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun diserang dengan senjata parang di kedai makanan dan minuman akibat perselisihan faham antara mangsa dan kumpulan itu.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian perut dan kepala telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk rawatan lanjut dan keadaannya stabil,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata polis masih mencari beberapa individu yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu.

Katanya mana-mana saksi yang melihat kejadian tersebut diminta tampil memberikan maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai atau menghubungi pegawai penyiasat di talian 010-7647789. – Bernama