Enam termasuk dua pasangan suami isteri ditahan

GEORGE TOWN: Polis menahan enam individu termasuk dua pasangan suami isteri disyaki terlibat dengan kegiatan memecahkan mesin token dan mesin kerusi mengurut badan untuk mencuri wang di beberapa buah negeri, dalam serbuan di Sungai Nibong di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata pada 31 Jan lepas polis menerima aduan mengenai perbuatan memecahkan mesin menukar wang kepada token itu di sebuah pusat permainan di sini, daripada pemilik mesin berkenaan.

Beliau berkata susulan aduan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Unit Kereta Peronda menjalankan risikan sebelum melancarkan operasi dan berjaya mengesan sebuah kereta Perodua Alza dinaiki suspek di kawasan Sungai Nibong, pada 10.30 malam, Ahad.

Katanya semasa ditahan kereta itu didapati dinaiki empat lelaki dan dua wanita berusia 22 hingga 32 tahun yang berasal dari Johor, dan mereka dipercayai baru tiba di negeri ini untuk menjalankan kegiatan jenayah di sini.

Soffian dalam persidangan media di sini hari ini berkata kumpulan itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak awal tahun dengan pergi ke beberapa buah negeri serta menginap di hotel-hotel bajet untuk melakukan jenayah.

“Kumpulan itu didapati terlibat dalam 11 kes pecah mesin token dan mesin mengurut badan iaitu enam kes di Pulau Pinang dan masing-masing dua kes di Perak serta Kedah dan satu kes di Kelantan, membabitkan kerugian lebih RM20,000,“ katanya dan menambah kesemua mereka direman sehingga 17 Feb bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata empat daripada yang ditahan masing-masing bekerja sebagai pengawal keselamatan, peniaga bundle, juruelektrik dan pembuat kepok kubur. –Bernama