Erdogan ulangi tidak akan paksa pelarian keluar dari Turki

ANKARA: Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Rabu berkata Turki tidak akan memaksa pelarian yang telah diberi perlindungan keluar dari negara itu.

Beliau berkata mereka yang melarikan diri daripada penganiayaan dan peperangan di Iraq, Syria, atau tempat lain dan mencari perlindungan di negara itu adalah tetamu.

“Jika mereka mahu pulang secara sukarela, mereka boleh pulang, jika tidak, pintu kami akan sentiasa terbuka kepada pelarian.

“Turki tidak akan menghantar mereka ke dalam pelukan pembunuh,” katanyanya semasa mesyuarat ketua wilayah Parti AK Turki, lapor Agensi Anadolu.

Beliau berkata menjadi tuan rumah kepada mereka yang memerlukan perlindungan adalah sebahagian tradisi Turki.

Erdogan baru-baru ini mengumumkan rancangan baharu iaitu membina ratusan ribu rumah di utara Syria yang dikuasai pembangkang selain sekolah, hospital dan institusi lain yang diperlukan.

Kira-kira empat juta pelarian Syria kini tinggal di Turki — terbanyak berbanding mana-mana negara di dunia — dan beliau menjangkakan rancangan itu akan menarik kira-kira satu juta pelarian untuk kembali secara sukarela ke Syria.

Sejak 2016, tentera Turki juga membersihkan sebahagian besar kawasan daripada kumpulan pengganas bagi menjadikannya selamat untuk penempatan semula. – Bernama