Fahmi ingatkan ahli, presiden Bersatu jangan ‘bermuka-muka’

KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil (gambar) hari ini mengingatkan ahli Bersatu dan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak ‘bermuka-muka’ berhubung siasatan terhadap perbelanjaan ‘mewah’ parti itu semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata sesiapa sahaja bebas untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mereka mengesyaki mana-mana parti politik terbabit dalam penyelewengan.

“Mungkin ini peringatan kepada mereka (ahli Bersatu) bahawa mereka perlu mengingatkan kepada presiden parti mereka apa itu adil…jika adil pada masa dulu, perlu juga dianggap adil sekarang,” katanya selepas menghadiri sambutan rumah terbuka Tahun Baharu Cina kawasan Parlimen Lembah Pantai di Taman Seri Sentosa, di sini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata demikian sebagai mengulas laporan polis dibuat Ketua Bahagian Bersatu Puchong Mohd Shukor Mustaffa yang mendakwa PH dan Barisan Nasional (BN) telah berbelanja ‘mewah’ semasa kempen PRU15.

Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital menafikan terdapat perbincangan dengan Pejuang berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Fokus PH buat waktu ini untuk mengukuhkan Kerajaan Perpaduan, di situ kita lihat ada beberapa prinsip dan perkara yang menjadi keutamaan.

“PH pada waktu ini setahu saya belum ada apa-apa perbincangan tentang ini (dengan Pejuang), isu pergolakan mana-mana parti adalah isu dalaman parti tersebut, kita tidak mahu masuk campur,“ katanya ketika mengulas mengenai konflik dalaman Pejuang.

Bulan lepas, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata kerjasama politik dengan PH atau Perikatan Nasional (PN) antara perkara yang dibincangkan semasa Perhimpunan Agung parti itu. – Bernama