Generasi muda Perak berpeluang miliki rumah melalui projek RPT

IPOH: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak hari ini diberitahu, kerajaan negeri tidak menghalang pembangunan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) bagi generasi muda memiliki rumah di kawasan luar bandar,

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata ini kerana projek seumpama itu pernah diwujudkan kerajaan negeri melalui Rumah Perak Ku namun ia bergantung kepada syarat dan kelulusan yang ditetapkan.

“Pada kebiasaannya, status peserta projek RPT akan diperiksa sebelum diluluskan. Kerajaan negeri tiada halangan untuk sebarang projek atau penempatan baharu seperti RPT dibuka khusus kepada generasi muda.

“Di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), kita ada projek belia iaitu Rumah Perak Ku di Tanjung Tualang untuk dimanfaatkan belia setempat dengan peruntukan pembangunan tanah disediakan berdasarkan kemampuan semasa LPHP selain kos pembangunan dibiayai pembeli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Zuraimi Razali (BN-Manong) mengenai peluang generasi muda memiliki rumah di RPT di seluruh negeri.

Nolee Ashilin berkata LPHP menjangka kos pembangunan lebih tinggi kerana infrastruktur yang akan disediakan adalah lengkap merangkumi pembinaan jalan, longkang, bekalan air, bekalan elektrik, telekomunikasi dan lain-lain yang bersangkutan.-Bernama