Graduan perlu bersedia mendepani cabaran alam pekerjaan: Tuanku Muhriz

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah para graduan perlu bersedia daripada setiap sudut dalam mendepani alam pekerjaan yang semakin mencabar.

Baginda, yang juga merupakan Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bertitah agar graduan untuk mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental kerana ramai pekerja baharu yang diberhentikan kerja, malahan banyak peluang pekerjaan yang ditawarkan juga tidak sepadan dengan kemahiran dan tahap pendidikan.

“Sebagai graduan baharu, , kamu bukan sahaja akan bersaing sesama sendiri tetapi juga kamu perlu bersaing dengan mereka yang telah berpengalaman, dalam mencari pekerjaan.

“UKM telah mengambil kira semua faktor dan perubahan terkini dalam merangka pelbagai inisiatif bagi membantu kamu untuk lebih bersedia ketika berhadapan dengan cabaran akan datang,” titahnya di Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-50, hari ini.

Dalam masa sama, baginda turut bertitah antara inisiatif yang perlu diberi penekanan oleh para graduan adalah kemahiran dalam bidang keusahawanan dan ilmu dalam bidang teknologi maklumat.

“Kesemua graduan dan alumni UKM perlulah kembali mencurah bakti kepada universiti dan terus berjasa kepada masyarakat dan negara,” titah baginda.

Dalam pada itu, Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman, berkata seramai 7,961 graduan menerima ijazah masing-masing dalam majlis berkenaan yang bermula hari ini sehingga 1 Dis di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).

“Majlis konvokesyen kali ini diadakan secara normal dengan kehadiran ibu bapa dan keluarga di dalam dewan . Sebelum ini, hanya bakal graduan sahaja dibenarkan untuk berada di dalam dewan tanpa ditemani oleh ibu, bapa atau ahli keluarga.” katanya

Beliau berkata majlis konvokesyen itu sangat bermakna kepada seluruh warga UKM kerana ia sudah banyak melahirkan alumni berkualiti sejak penubuhannya 52 tahun yang lalu.

“Setakat ini, UKM telah melahirkan seramai 222,197 orang alumni,” katanya

Sementara itu, Mohd Ekhwan berkata majlis yang bertemakan ‘Alumni Emas, Aspirasi Watan’ itu turut meraikan empat penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah iaitu Tan Sri Dr. C Palaniappan Ramanathan Chettiar, Sir Mark Moody-Stuart, Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dan Prof. Dr. Edward Yi Cha.-Bernama