Guru agama, ejen pelancongan rugi RM128,613 ditipu dalam talian

KUANTAN: Seorang guru agama mengalami kerugian RM76,170 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam, Isnin lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata wanita berusia 55 tahun itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mendakwa sebagai pegawai Touch ‘n Go di Kuala Lumpur dan mengatakan mangsa mempunyai tunggakan bayaran bil selama enam bulan.

Beliau berkata panggilan mangsa yang menafikan mempunyai tunggakan bayaran itu kemudiannya disambung kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan memberitahunya terlibat dengan aktiviti penyeludupan dadah serta pengubahan wang haram.

“Mangsa diminta membuat rayuan penagguhan waran dan telah memberikan 14 digit nombor semua kad bank selain diarahkan mengisi maklumat perbankan di dalam pautan (link) yang diberikan.

“Selepas mengisi maklumat bank, wanita itu mendapati terdapat lima transaksi pengeluaran wang dari akaun yang menyebabkannya kerugian RM76,170,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes berlainan, Ramli memaklumkan wang milik seorang ejen pelancongan lebih RM52,443 lesap selepas ditipu penawaran kerja sambilan tidak wujud menerusi aplikasi WhatsApp yang memberikan pulangan RM100 bagi setiap tugasan yang dilakukan pada Sabtu lepas.

Katanya setelah mangsa berusia 34 tahun itu berminat, suspek telah menghantar pautan kepada lelaki itu untuk menyertai satu group di Telegram dan diminta membeli prepaid dengan dijanjikan akan mendapat pulangan dalam tempoh yang singkat.

“Mangsa kemudiannya telah membuat lima transaksi wang ke dalam akaun bank berbeza sebelum dimaklumkan mendapat keuntungan sebanyak 40 peratus dan membuat empat lagi transaksi seperti diarahkan suspek sehingga mengalami kerugian RM52,443,“ katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang berasa terpedaya membuat laporan polis masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh dan Jerantut semalam serta kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Ramli menasihatkan orang ramai supaya tidak menyewa atau memberikan akaun bank peribadi kepada ahli sindiket kerana sekiranya didapati bersuhabat, pemilik akaun boleh dituduh di mahkamah atau mungkin akan dihadapkan dengan tuntutan sivil. – Bernama