Hasil rundingan kerusi PH, BN dijangka umum selepas Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Hasil rundingan berhubung pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dijangka diumumkan selepas Aidilfitri atau sebelum hujung Mei ini.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata pimpinan tertinggi parti politik PH dan BN akan mengumumkan hasil rundingan kerusi itu nanti.

“Saya percaya tidak lama lagi pimpinan akan umumkan hasil rundingan kerusi, tetapi saya jangkakan ia sangat positif,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengumuman Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN) di sini hari ini.

Bagaimanapun Fahmi berkata maklumat terperinci mengenai rundingan kerusi perlu dirujuk kepada Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail atau Timbalan Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli.

Sebelum ini, Saifuddin Nasution memaklumkan proses rundingan kerusi DUN telah dibincangkan di peringkat pusat antara PH dan BN berdasarkan parameter serta formula yang ditetapkan.

Pada 22 Feb lepas, menteri besar dan ketua menteri dari enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran DUN masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun bagi memberi laluan kepada PRN.

Mengenai berita gembira kepada pengguna pelan prabayar, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata beliau masih perlu berbincang dengan beberapa pihak.

“Insya-Allah Isnin atau Selasa. Saya kena hubungi beberapa orang lepas ini untuk minta mereka buat pengumuman itu. Ada beberapa (berita) menarik untuk pengguna pelan pasca bayar,” katanya.

Jumaat lepas, Fahmi memaklumkan beliau akan mengumumkan berita gembira kepada pengguna pelan prabayar.

Pada majlis hari ini, Fahmi mengumumkan PEMANGKIN akan menambah sembilan sektor tumpuan yang telah dikenal pasti oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) termasuk pelancongan digital, pertanian digital dan bandar digital melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM1 bilion menjelang 2025. – Bernama