Inisiatif tambah peluang kerja, kurangkan kadar muflis tingkat kualiti kehidupan belia

KUALA LUMPUR: Inisiatif kerajaan menambah peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar muflis belia menerusi Belanjawan 2023 adalah langkah tepat dalam meningkatkan kualiti kehidupan golongan itu.

Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) Noor Mohamad Shakil Hameed berkata ‘Belanjawan MADANI’ dilihat mesra belia dan golongan itu wajar mengambil peluang yang disediakan untuk membina kerjaya dan masa depan yang baik.

“Bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dilihat sebagai kerjaya masa depan yang menarik di negara ini. Graduan TVET yang mahir dalam pelbagai bidang perlu diberi jawatan yang bersesuaian sebagai pekerja berkemahiran tinggi atau profesional dengan kadar gaji yang setimpal.

“Justeru, peluang pekerjaan sebanyak 35,000 yang ditawarkan khususnya di GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dilihat bakal menjadi penyuntik semangat kepada semua graduan TVET selain memberi galakan kepada belia lain untuk turut serta mengikuti pengajian berkenaan kerana peluang kerjaya yang lebih baik dalam bidang ini,“ katanya.

Noor Mohamad berkata usaha kerajaan mengurangkan kadar muflis golongan belia dengan hutang kurang RM50,000 dan meneruskan inisiatif Menu Rahmah menerusi Belanjawan 2023 turut dilihat memberi sinar harapan kepada golongan itu untuk membina kerjaya dan meneruskan kehidupan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada Jumaat lepas mengumumkan sebanyak 35,000 peluang pekerjaan di syarikat GLC akan ditawarkan bagi golongan belia, graduan TVET, rentan dan veteran.

Anwar turut mengumumkan sejumlah RM40 juta disediakan untuk memanfaat 30,000 pekerja gig, iaitu sektor ekonomi berkenaan kini majoritinya adalah dalam golongan belia.

Presiden Kelab Belia Prihatin Luqman Hakim Md Zim pula berpandangan kerajaan perlu memberi fokus kepada usaha penyampaian maklumat agar inisiatif kerajaan dalam memperluas peluang pekerjaan bagi golongan belia dapat dilaksanakan secara efektif dan inklusif.

Beliau berkata meskipun inisiatif seperti itu pernah diumumkan dan dilaksanakan di dalam Belanjawan pada tahun-tahun sebelum ini, masih terdapat pihak yang tidak mengetahui usaha serta peluang yang telah disediakan oleh kerajaan.

“Selain itu, institusi penting seperti Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) juga perlu menghubungi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang untuk mereka meneruskan pengajian dan bukan hanya kolej atau institusi swasta,“ katanya.

Sementara itu, langkah kerajaan meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat disifatkan sebagai ‘peluang kedua’ bagi individu muflis yang sebelum ini masa depannya agak kabur.

Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Perak Muhammad Naim Al-Amin Saharudin berkata langkah kerajaan melepaskan status muflis bagi mereka yang hutangnya kurang RM50,000 dapat membantu golongan berkenaan keluar daripada belenggu muflis yang merencatkan kehidupan mereka.

“MAYC Perak menyambut baik dan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan dalam membela nasib mereka yang muflis khususnya golongan muda.

“Sebelum ini, mereka yang muflis seolah-olah tidak mempunyai masa depan dan akan terus berada dalam keadaan tidak diberikan pengupayaan untuk bangkit semula seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara,“ katanya ketika dihubungi.

Perdana Menteri dalam Belanjawan 2023 berkata kerajaan menyasarkan 130,000 rakyat dilepaskan daripada status muflis setelah pindaan Akta Insolvensi 1967 diluluskan. – Bernama