Jakarta Business School dilantik sebagai rakan strategik MPM

JAKARTA: Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) menjadikan Jakarta Business School (JBS) sebagai pusat latihan dan ujian Malaysian University English Test (MUET) di Jakarta dan di wilayah sekitarnya.

Ketua eksekutif MPM Adnan Husin berkata kerjasama dengan rakan strategik JBS mempunyai prospek masa hadapan yang sangat baik untuk perkembangan MUET di Indonesia.

“Kita berusaha untuk mencapai prospek yang diharapkan dengan memainkan peranan masing-masing selepas ini,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua pihak, disaksikan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia Adlan Mohd Shaffieq, di kampus JBS di sini.

Turut hadir rektor JBS Dr Hamdan Zoelva dan penasihat pendidikan Education Malaysia Indonesia di kedutaan Mohd Mubarak Shamsuddin.

JBS yang fokus kepada pendidikan di bidang teknologi dan perniagaan menjadi organisasi ke lapan menandatangani MoU dengan MPM berkaitan MUET setakat ini.

Adnan berkata sebanyak 17 universiti antarabangsa dari enam negara iaitu Amerika Syarikat, China, Hong Kong, Jepun, Singapura dan United Kingdom mengiktiraf MUET untuk masuk ke universiti mereka.

MUET, ujian penguasaan bahasa Inggeris untuk kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti di Malaysia, sama seperti Test of English as Foreign Language dan International English Language Testing System. – Bernama