Jangkitan penyakit ASF di NT Sembilan terkawal: JPV

PUTRAJAYA: Jangkitan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di Negeri Sembilan adalah terkawal dan tiada lagi laporan kematian pada babi hutan mahupun ternakan babi komersil susulan satu kes positif dikesan di Port Dickson, 3 Jan lalu.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan bahawa terdapat kekeliruan yang tular baru-baru ini berkaitan penyakit ASF namun memaklumkan penyakit ASF adalah penyakit bukan zoonotik dan tidak menjangkiti manusia.

“Justeru, orang awam tidak perlu bimbang untuk berkunjung ke Port Dickson. Surat pemakluman yang oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) bertarikh 10 Jan lepas bertujuan memaklumkan kepada orang awam dan pemain industri tentang kes ASF di Port Dickson.

“Ini adalah salah satu langkah yang diambil oleh JPVNS untuk membendung perebakan penyakit ASF di Negeri Sembilan,” menurut JPV.

Semalam, Pengarah JPVNS, Dr Kamarulrizal Mat Isa, berkata satu kes tersebut dikesan dari kematian seekor babi hutan jantan dewasa di Ladang Sengkang, Pasir Panjang, Port Dickson.

Sementara itu, JPV meminta semua pihak agar tidak menularkan berita tidak tepat dan segera merujuk kepada jabatan itu bagi mendapatkan maklumat lanjut atau merujuk kepada poster atau video yang telah dihebahkan bagi meningkatkan lagi kesedaran berkaitan penyakit ASF.

Penternak dan orang awam turut diminta melaporkan sebarang kematian babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri yang berdekatan atau menerusi hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit, Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Putrajaya di talian 03-8870 2041 atau JPVNS di talian 06-762 8857. – Bernama