JDT lancar jersi baharu musim 2023

JOHOR BAHRU: Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melancarkan jersi baharu bagi musim 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini.

JDT menerusi kenyataan memaklumkan, jersi yang dihasilkan dengan kerjasama Nike sejak 2014 itu didatangkan dengan dua rekaan iaitu jersi merah biru untuk tuan rumah dan jersi di tempat lawan berwarna putih.

Identiti bendera Johor berwarna merah biru pada jersi tuan rumah serta bercorak ‘camouflage’ masih dikekalkan namun diberikan kelainan dengan tambahan kolar pada kali ini.

“Bagi jersi pelawat pula, JDT mengekalkan warna putih sebagai warna utama selain terdapat adunan kombinasi jalur merah di bahagian lengan dan biru di bahagian belakang jersi.

“Tahun ini merupakan musim kesembilan JDT bekerjasama dengan Nike yang telah meraikan kejayaan tanpa henti sejak 2014. Jersi-jersi ini adalah sebagai identiti kolektif bagi legasi kelab dan kejayaan di dalam dan di luar padang,” menurut kenyataan itu.

JDT menyatakan pengenalan jersi baharu dilancarkan menerusi tayangan video berdurasi satu minit 40 saat yang menampilkan beberapa pemain dan pemilik JDT Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Video tersebut turut membayangkan bahawa JDT sudah bersedia untuk menakluki musim 2023.

JDT pada masa sama turut memaklumkan bahawa logo Socios.com, iaitu sebuah platform aplikasi yang menjadi penghubung dan memberi peluang ganjaran kepada penyokong kelab itu turut diletakkan pada kedua-dua jersi tersebut.

Penyokong boleh mendapatkan jersi tersebut di JDT Online Store serta pengedar berdaftar Southern Tigers Sdn Bhd (STSB) di semua daerah di Johor. – Bernama