JKPK platform paling tepat jelas keputusan DNAA Zahid

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi merupakan platform paling tepat untuk memberi penjelasan berkenaan isu keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil (gambar) berkata ia memandangkan struktur JKPK yang tiada campur tangan politik, adil serta terperinci dalam melaksanakan tugas mereka.

“JKPK sebelum ini banyak membantu dalam proses penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti dan Generasi Penamat (GEG).

“Oleh itu saya meminta MP(Ahli Parlimen) yang lain serta orang ramai memberi lebih ruang dan masa kepada JKPK menyediakan laporan mengenai perkara itu (DNAA) sebelum dibentangkan dalam Dewan Rakyat,“ katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata demikian selepas melancarkan tren LRT laluan Kelana Jaya yang bertema ‘Cerita Malaysiaku’ sempena sambutan Hari Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi jawatankuasa berkenaan William Leong Jee Keen berkata jawatankuasa itu akan memanggil Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan bekas Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun untuk memberikan penjelasan berhubung keputusan DNAA itu. –Bernama