Jorge Martin cemerlang hari kedua Ujian Musim Sejuk MotoGB 2023

SEPANG: Pelumba Prima Pramac Racing Jorge Martin mencatatkan masa sepusingan terpantas pada hari kedua Ujian Musim Sejuk Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), meskipun terjatuh.

Pelumba dari Sepanyol itu mencatatkan 58.736 saat pada pusingan ke-13 daripada 17 pusingan, sekali gus meninggalkan pelumba RNF MotoGP Team Miguel Olievera di tempat kedua dengan 1:58.839s.

Olievera melakukan 21 daripada 52 pusingan dan hanya ketinggalan 0.103s di belakang Martin, manakala pelumba Gasgas Factory Racing Tech3 Pol Espargaro yang membuat 29 pusingan menduduki tempat ketiga dengan masa terbaik 1:58.881s pada pusingan ke-11.

Mengulas prestasinya hari ini, Martin yang berusia 25 tahun itu berkata jentera baharunya lebih baik daripada model musim lepas.

“Ia sangat baik dalam semua aspek… kami perlu bermula daripada sifar untuk peta dan elektronik kerana ia berbeza,” katanya kepada pemberita.

Martin berkata apa yang disukainya mengenai jentera baharu itu ialah enjin baharunya dan tayar yang lebih kuat daripada musim lepas.

Beliau yang terjatuh pada selekoh ketujuh sehingga menyebabkan kecederaan ringan pada pergelangan tangannya berkata hal itu mungkin menjejaskan persembahannya pada hari terakhir ujian itu esok. –Bernama