JPJ P.Pinang keluar 329 saman dalam Op Motosikal

BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan 329 saman terhadap penunggang motosikal dalam penguatkuasaan khas op motosikal sempena Op Tahun Baharu Cina (TBC) 2023 yang dijalankan di dua lokasi di sini, selama empat hari.

JPJ Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menjalankan operasi itu secara berperingkat bermula Sabtu lepas hingga semalam dalam usaha memastikan penunggang dan pembonceng motosikal mematuhi peraturan dan undang-undang.

“Operasi itu dijalankan di lorong motosikal Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang serta Plaza Tol Sungai Dua dan sepanjang tempoh penguatkuasaan tersebut pihak JPJ menjalankan pemeriksaan terhadap 1,669 motosikal.

“Hasil pemeriksaan itu, JPJ Pulau Pinang mengeluarkan 329 saman kerana pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans, pamer nombor pendaftaran fansi dan ekstrem, tiada cermin sisi dan ubah suai motosikal tanpa kebenaran,“ menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan dalam operasi bersepadu bersama pihak polis, Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang, Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang dan konsensi PLUS Berhad, 27 motosikal turut disita kerana pelbagai kesalahan.

Kenyataan itu memaklumkan operasi motosikal yang diadakan itu juga menyasarkan motosikal yang melakukan pengubahsuaian untuk tujuan lumba haram, uji kelajuan atau rempit dalam usaha JPJ Pulau Pinang membanteras kegiatan lumba haram dan pihak polis mencegah jenayah.

Sementara itu, kenyataan tersebut memaklumkan penggunaan telefon bimbit ketika memandu adalah antara kesalahan utama yang dikesan JPJ Pulau Pinang sepanjang TBC 2023 yang bermula Rabu lepas.

Sehingga semalam, 18 notis saman dikeluarkan atas kesalahan tersebut yang juga tertinggi setakat ini dan kesalahan lain ialah gagal mematuhi lampu isyarat merah iaitu 15 notis saman serta memotong barisan atau ‘potong Q’ dengan 13 notis saman dikeluarkan.

“Turut dikesan kesalahan tidak memakai topi keledar dan memandu di lorong kecemasan iaitu masing-masing dengan tiga notis saman selain memotong di garisan berkembar dengan satu notis saman,” menurut kenyataan itu. -Bernama